Saturday 10 March 2012

Sejarah Kampung Merlimau Pasir


Ramai orang-orang Merlimau sendiri tertanya-tanya tentang asal nama "Merlimau" atau bagaimana Merlimau dapat namanya. Dari tradisi lisan atau cerita-cerita mulut terdapat dua cerita. Seperti  yang diperkatakan ada dua kelompok keturunan terbedar di Merlimau iaitu Bugis dan Palembang. Oleh itu terdapat dua cerita:-

Cerita Pertama : Dari Sumber  orang-orang Palembang.


Dikatakan orang-orang Melayu dahulu sangat pandai bermain senjata istemewanya keris. Mereka adakan latihan bersilat, berpencak atau seni mempertahankan diri setiap hari. Masing-masing mempunyai keris sebagai senjata persendirian yang dibawa ke mana-mana mereka pergi untuk mempertahankan diri dan menentang musuh. Keris ini dijaga dan dipelihara.  Cara menjaganya ialah "diusap dan dilimau". Ini bermakna keris mereka mesti diusap dengan kemenyan dan diurut dengan limau. Tradisi merlimau keris ini masih terdapat dikalangan masyarakat Melayu khasnya yang menyimpan keris pusaka. Upacara ini dinamakan "Upacara Merlimau Keris".  Setiap malam jumaat keris mereka mesti dilimau. Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru untuk melimau keris. Bila ditanya, "Hendak ke mana?". Mereka menjawab, "Hendak Melimau " , Hendak Melimau dan akhirnya tempat itu dinamakan "MERLIMAU".

Sumber Ke dua : Dari Cerita Keturunan Bugis.


Pembesar  Orang Bugis yang berhijrah ke Merlimau ialah Datuk Kaya Makmun. Beliau pada asalnya telah menebas, menebang hutan untuk  membuat kawasan kediaman. Waktu itu di pedalaman atau di hulu sungai Merlimau adalah hutan yang tidak pernah diterokai orang. Hutan belantara yang begitu besar dikatakan banyak didiami oleh binatang buas terutama harimau. Harimau banyak sentiasa mengancam pendatang baru ini kerana mereka tinggal di pinggir hutan tebal. Sehubungan dengan itu Datuk Kaya mengarahkan orang-orang mereka membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau. Dalam bahasa dahulu disebut "mara rimau" kita buat pagar, tahan mara rimau, tahan mara rimau" oleh kerana mara rimau ini mengancam hidup , mereka menamakan tempat ini sebagai Mara Rimau, Mara Rimau dan akhirnya menjadi "MERLIMAU".  Demikianlah cerita dari mulut kemulut yang berlaku hampir 300 tahun dahulu. Janganlah dipersoalkan yang mana betul atau salah. Kita terima ke dua-duanya. Syukur ke dua-dua keturunan ini ada ceritanya untuk menjadi pengetahuan generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment